Monday, January 9, 2017

Sehingga Ke Hari Ini


1st January 2017
Alhamdulillah, syukur hamba panjatkan ke hadrat Illahi kerana masih memanjangkan usia hamba sehingga ke hari ini.

1 Januari 2017. Selamat tahun baru 2017. Moga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Azam hamba pada tahun ini, hamba berusaha untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Usia bertambah lagi, namun semakin pendek umur hamba dan semakin hamba dekat dengan kematian. Entah esok atau lusa, mahupun sekarang, hamba pergi menghadap Illahi. Hamba suka menggunakan perkataan “Hamba” di sini, kerana hamba merasakan hamba lebih dekat kepadaNya. Hamba teringat kepada arwah pak cik hamba, apabila pak cik berdoa minta disembuhkan dari penyakit, antara bait-bait doanya berbunyi, ‘Ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba,”

Justeru, semenjak itu hamba terdetik menggunakan perkataan hamba ini.
Tahun demi tahun, jika dulu hamba kurang bersama al-Quran, sedikit demi sedikit hamba berusaha meluangkan lebih banyak masa untuk membacanya bahkan mentadabbur isi kandungannya. Jika dahulu, kadang-kala hamba perasan hamba solat di akhir waktu. Sedikit demi sedikit hamba berusaha untuk solat di awal waktu. Puasa, hamba gigihkan untuk berpuasa sunat.

Tahun lepas, hamba berazam untuk istiqamah solat sunat taubat setiap malam dan Alhamdulillah, hamba berjaya melakukannya untuk setahun. Kali ini hamba ingin berazam agar hamba dapat berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis untuk setiap minggu dan sepanjang tahun ini. In sha Allah. Hamba berazam agar hamba juga istiqamah untuk melaksanakan segala solat-solat sunat. Hamba zahirkan di sini bukanlah tujuan hamba untuk menunjuk-nunjuk namun sebagai coretan rasa hati hamba semata-mata.

Betapa ... Jika difikirkan teruknya hamba suatu waktu dahulu. Terlalu banyak yang ingin hamba perbaiki dalam diri hamba ini. Andai waktu dapat diputarkan kembali, sudah tentu hamba tidak ingin diri hamba berada di dalam lembah kejahilan dan kehinaan. Namun, siapalah hamba ? Hamba hanya insan yang kerdil lagi lemah tidak berdaya.

Ya Allah,
Apa yang hamba harapkan moga tahun baru 2017 ini membawa lebih banyak kebaikan dan kebahagiaan kepada diri hamba dan orang-orang yang hamba sayangi. Tahun 2016 merupakan tahun kedukaan bagi hamba dan ahli keluarga hamba. Kami kehilangan orang yang kami sayangi. Namun, bukanlah bermakna hamba mengeluh serta tidak akur terhadap segala suratan yang telah Engkau takdirkan Ya Allah. Cuma hamba ingin meminta kepadaMu Ya Allah, moga berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada diri hamba untuk menempuh segala dugaanMu.

Ya Allah,
Hamba memohon dan meminta kepadaMu Ya Allah agar tahun baru 2017 ini juga menjanjikan sinar kebahagiaan dan kebaikan buat diri hamba di dunia dan di akhiratMu.

Ya Allah,
Janganlah Engkau jauhkan hamba daripada akhirat. Janganlah Engkau gelapkan hati hamba dengan dunia.
Ya Allah
Kurniakanlah hamba kejayaan di dunia dan di akhirat.
Berikanlah peluang kepada hamba untuk memperbaiki diri supaya hamba menjadi hamba yang lebih baik daripada sebelumnya.
Berikanlah peluang kepada hamba untuk menjadi hamba yang solehah yang taat mengerjakan segala suruhanMu dan meninggalkan segala laranganMu.
Berikanlah peluang kepada hamba untuk bertaubat sebelum maut menjemput hamba. Kurniakanlah hamba taubat nasuha sebelum maut.
Ya Allah
Jauhkan hamba daripada sebarang sifat-sifat mazmumah dan jadikanlah hamba seorang Muslim yang mempunyai akhlak yang baik
Ya Allah
Jauhkanlah hamba daripada azab api nerakaMu.
Ya Allah
Matikanlah hamba dalam keadaan Husnul Khatimah. Tempatkanlah roh hamba bersama-sama dengan golongan yang beriman dan beramal soleh. Hamba meminta kepadaMu Ya Allah, akhirilah hayat hamba dengan kalimah
La ilaha illallah
Moga hamba terus qawwiy. In sha Allah. 
Sehingga ke hari ini. 

Thank You For Reading My Entry.♥ it, Please Like.

0 orang sayang saya:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...