Sunday, July 24, 2011

Cinta Yang Pergi (Part 1)

Kata orang, bercinta bertahun lamanya, tetapi kasihnya tak mungkin berkekalan kerana manusia itu mudah jemu
Bagiku 8 tahun yang sia-si
a
Wahai temanku sekalian,
     Kebiasaan coretan aku berbahasa Inggeris tetapi kali ini aku ingin menukar selera bahasaku. Ingin aku coretkan sebuah kisah untuk menjadi teladan dan pengajaran buat kita bersama. Kisah ini datang dari lubuk hatiku sendiri, apa yang aku rasa dan apa yang aku alami sendiri. Aku tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah Taala tetapkan kepadaku dan kita semua agar beriman kepada-Nya. Kisah ini aku khabarkan agar apa yang aku lalui tidak berlalu begitu sahaja tanpa aku kongsi dan tanpa aku rekodkan sebagai panduan bagi diriku sendiri untuk hari-hari kemudian.

 Buat anak-anakku di masa hadapan agar mereka mengambil iktibar dari kisah hidup ummi mereka. Apa yang telah terjadi kepada diriku, tidak mungkin aku biarkan terjadi kepada anak-anakku di masa akan datang. Moga ia menjadi pengajaran buat keluargaku, anak-anakku dan buat sesiapa yang membaca coretanku ini. Aku sedar ada hikmah yang Allah Taala turunkan kepadaku. Aku tahu Allah Taala itu sebaik-baik perancang dan sebaik-baik penolong.

     Aku sama seperti orang lain yang mempunyai keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walaubagaimanapun, tidak mudah untuk aku jatuh hati pada seorang lelaki. Justeru, aku tidak mencari seorang lelaki untuk dijadikan kekasih, tetapi aku mencari seorang teman pendamping hidupku sehingga ke akhir hayatku. Seseorang yang boleh mengingatkan aku sekiranya aku terlupa, dan yang paling penting orang yang amat aku percayai untuk menjadi imamku dan pemimpin yang bertanggungjawab untuk mendidik dan membentuk usrah Sakinah Mardhatillah yang aku impikan suatu hari kelak.
     Cinta ? Ada apa dengan cinta ? Kebiasaannya, sesiapa pun yang mendengar perkataan cinta pasti mempunyai persepsi cinta itu indah. Kita mengenal cinta hanya kerana kita tahu kita suka sayang dan setia kepada seseorang itu. Sayangnya kita pada ibu ayah, teman dan rakan atau kekasih tidak kan sama umpama sayangnya kita pada kuasa Yang Maha Agung dan Maha Esa Allah Taala.
 Berbagai-bagai perasaan sayang, sedih, gembira, duka semuanya adalah fitrah dalam diri manusia. Tidakkah kita tahu, cinta itu sesuatu yang lebih indah sebenarnya bila kita mengenali dan menghayati cinta Allah. Namun, itulah yang terjadi kepada diriku. Aku tersilap menilai cinta manusia yang aku sangka akan berpanjangan. Benarlah kata pepatah, ku sangkakan panas kan berpanjangan rupa-rupanya mendung di pertengahan.

 Aku ? Siapa aku ? Kadang-kala aku bertanya pada diri. Siapa aku sebenarnya ? Aku tidak mengenal diriku lagi semenjak 7 tahun yang lalu. Aku berubah menjangkau masa. Aku berubah kerana sesuatu yang hadir dalam hidup aku. Aku berubah kerana aku menjangkakan kebahagiaan itu milik aku selamanya. Tetapi aku silap. Tiada siapa yang lebih berkuasa melainkan Allah Taala. Aku hanya hamba-Nya. Selayaknya aku menginsafi diri ini atas apa yang telah aku lakukan. Tapi siapa aku ?
 Aku hanya insan yang lemah. Aku menyesali segala yang terjadi. Namun, aku tetap mengharapkan kebaikan dan rahmat-Mu Ya Allah. Aku minta dan berkehendak kepada-Mu agar Kau bantulah hamba-Mu ini. Sesungguhnya aku hanya mengharap dan meminta kepada-Mu Ya Allah. Ampunilah aku. Terimalah taubatku. Hati ini terlalu lalai dengan dunia. Aku katakan aku berubah kerana sesuatu yang hadir dalam hidup aku. Memang aku tidak nafikan perkara itu akan terjadi dan menimpa diriku. Sungguh, ini ujian buatku dan aku redha dengan qada’ dan qadar Allah Taala kerana aku tahu Allah lebih menyayangi hamba-Nya dan mengetahui tiap-tiap sesuatu yang tidak kita ketahui.

     Tahun 2004, permulaan perubahan dalam hidupku yang tidak aku jangkakan akan merubah seluruh hidup aku. Perubahan yang membuatkan aku sedar bahawa aku alpa. Perubahan yang membuatkan aku meletakkan cinta insan itu pada tempat yang tinggi. Dan akhirnya, segala-galanya musnah bersama cinta yang pergi dari hidupku.
.................................................................
Kisah kasihku bermula di sini
Sebuah Permulaan Yang INDAH.....
Tujuh tahun yang lalu,
   Di sebuah sekolah, letaknya di kaki gunung, menyimpan nostalgia dan kenangan yang tidak mungkin aku lupakan begitu sahaja. Tahun 2004 usiaku menjangkau 15 tahun pada ketika itu. Aku seorang pelajar. Aku seorang gadis yang ceria yang hidupku dibayangi keindahan dan kekuatan semangat untuk menuntut dan mencari ilmu. Aku merasakan hidup aku terlalu sempurna ketika itu kerana aku di kelilingi teman-teman yang baik. Aku hidup dalam bi’ah (persekitaran) untuk mencari ilmu. Paling menggembirakan bagi aku, aku bertuah kerana aku mempunyai ayah dan ibu yang sentiasa memberikan sokongan kepada diriku. Maka, sebaik mungkin aku berusaha dalam perjuangan aku mencari ilmu kerana aku tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ibuku.

Aku anak sulung dari empat adik-beradik dan semestinya tanggungjawab itu tergalas di bahu aku biarpun aku perempuan. Aku berusaha mendidik diriku agar aku menjadi seorang yang kaya dengan ilmu pengetahuan dan akhlak yang baik. Aku berusaha untuk itu. Aku berusaha untuk menjadi anak yang baik kepada kedua-dua ibu dan ayahku. Pada masa yang sama, tahun 2004 adalah tahun untuk aku menduduki PMR. Aku berusaha sebaik mungkin agar aku mampu mengejar cita-citaku memberikan hadiah yang terbaik buat ayah dan ibu dalam akademik. Sehinggalah suatu hari… Hari yang mengubah segala-galanya.

     Di pagi yang hening, ketika itu aku berdiri di hadapan dewan sekolah. Tanpa aku sedari, sepasang mata memerhatikan diriku dari jauh. Tidak lama selepas itu, sampailah kepadaku secebis pesanan dari sahabat sekelasku, Azfar. “Fera, ada orang sampaikan salam kepada kau. Namanya, Syam”. Aku ? Aku benci kepada keadaan itu. Salam dihulur tidak ku jawab sehinggalah sampai kepadaku surat perkenalan. Aku takut dengan keadaan itu. Kerana takut aku menceritakan segala-galanya kepada ibuku. Setiap segala benda dan urusan yang aku tidak pasti aku ceritakan kepada ibuku. Aku katakan ada seseorang ingin mengenaliku.
Ibu berkata, “Kakak, ibu tak larang kakak nak berkawan dengan sesiapapun. It’s normal as you are teen just now and you are big enough to think which one is bad and good. But remember dear, the important thing is make sure you are successful in your study and take care of yourself. I love you, my dear.”

     Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Hisyam tidak pernah jemu menulis kepadaku. Coretanku pula hanya lebih kepada kata-kata semangat dan nasihat kerana ku anggap dia adalah sahabat baikku walaupun hakikatnya aku tidak mengenali dirinya. Aku tidak tahu siapa dia dan bagaimana wajahnya. Aku tahu aku hanya mempunyai sahabat baik.

Akhirnya, penghujung tahun 2004 kami menduduki PMR. Alhamdulillah aku berjaya mendapatkan keputusan yang cukup cemerlang dan kerana itu aku berjaya mendapat anugerah kategori Hadiah Terbaik PMR 2004. Aku gembira dan aku titipkan khabar baik itu sebagai hadiah kepada kedua-dua ibu dan ayahku. 

Hisyam juga mendapat keputusan baik biarpun aku mengatasi dirinya. Sehinggakan tibalah cuti sekolah, dia tetap rajin mengutus surat kepadaku walaupun menerusi pos. Suratnya aku balas sekadar bertanyaklan khabar.

     Tahun 2005,
    Sesi persekolahan bermula seperti biasa. Kami masih sama-sama menyambung pengajian di tingkatan 4 di sekolah yang sama cuma berbeza kelas. Kami sama-sama mengambil aliran Sains. Semakin lama semakin kerap dia menulis kepadaku. Bila aku tidak membalas atau terlewat membalas warkahnya, pasti dia akan menghantar pesanan kepadaku. 
    Pernah suatu hari aku tertinggal tanda nama ku di dalam meja di kelasku. Aku mencari-cari tapi tidak terjumpa dengan lencana namaku. Rupa-rupanya, dalam diam dia mengambil lencana namaku. Dalam suratnya, dia memohon maaf. Dia berkata biarlah lencana nama nya bertemankan namaku di dalam dompet. Aku meminta dipulangkan semula tetapi dia enggan. Sudah!Malas aku hendak melayan. 
    Tambah lagi, dia memang kerap duduk di mejaku sewaktu private study malam kerana kelasku terletak di blok khas untuk pelajar lelaki sahaja. Selagi mana dia duduk di mejaku, sudah pasti ada sahaja pesanan penaja yang ditinggalkannya dalam buku latihan ku yang tersimpan di dalam laci meja.Tidak cukup dengan itu, dia telah mengambil curi gambarku. Aku menjadi marah kepadanya. Gambar tersebut gambar yang terdapat dalam album kawan sekelasku. Gambar tersebut dalah gambarku bersama dengan rakan-rakan sekelas sewaktu berada di tingkatan Dua. Meminta dipulangkan dia tetap enggan. Sudah! Aku tidak suka dan aku penat. Banyak kali aku meminta dipulangkan tetapi dia enggan. Aku biarkan sahaja.Lantak kau lah. Kata hatiku. 
    Setiap minggu, pasti akan sampai kepadaku air soya dan coklat pemberiannya. Sebenarnya aku agak takut dengan keadaan ini. Pada permulaan, dia menghadiahkan aku sepasang sandal. Naik lagi selepas cuti sekolah, dia menghadiahkan sekali lagi sepasang sandal kepadaku. Berapa kali aku ingatkan dirinya agar tidak payah bersusah-payah untuk aku. 
   Dihadiahkan lagi diriku sebuah telefon bimbit. Aku ? Aku enggan menerima semua pemberiannya kerana aku tahu itu tidak sepatutnya dan bukanlah selayaknya untukku menerima pemberian itu. Sehinggakan dia ternampak aku membiarkan sahaja rakan-rakan sekelas menggunakan telefon bimbit tersebut tanpa aku pedulikan. Dia menjadi marah.Aku enggan mempedulikan pemberian tersebut. Biarpun aku tidak mempunyai telefon bimbit, aku tidak inginkan benda tersebut.Kalau pun aku perlu, aku sendiri akan usahakan untuk mendapatkannya dan bukan dengan cara mudah.Walaupun ibu ayah aku tidak mampu untuk menyediakan aku sebuah telefon bimbit, tetapi bukanlah aku anak yang meminta kerana aku tahu kemampuan mereka.Dan Hisyam,aku tidaklah sekali-kali mengambil kesempatan atas kebaikan yang engkau hulurkan kerana aku tetap beringat siapalah aku untuk engkau terlalu baik kepadaku. 


   Kerana bertelagah perkara itu, dia berkata cukuplah perhubungan kita sehingga itu. Aku menerima sahaja kerana bagi aku itulah yang terbaik. Aku sangkakan cukup sehingga waktu itu. Sebaliknya, dia menulis lagi kepadaku bahawa dia tidak sanggup kehilangan aku. Dia meminta maaf untuk meneruskan perhubungan kami. Dia meminta untuk terus menyimpan foto aku yang diambilnya sebelum itu. Dia berkata bahawa dia agak risaukan ibunya yang sakit sehinggakan dia berkata begitu. Aku memaafkan sahaja dirinya. Dia meminta aku menerima pemberiannya. Tapi mustahil. Aku hanya mengambil sandal tersebut tetapi bukanlah telefon bimbit. Aneh, aku sekadar menyenangi dirinya walau aku tidak pernah mengenali dirinya. Tidak pernah melihat wajahnya.
     Aku  bukanlah seorang yang mudah terpujuk dengan hadiah atau pemberian.Aku takut kerana kelak orang akan menuntut sesuatu yang kita tidak mampu membalasnya. Hisyam terlampau suka menghantar kepadaku pelbagai pemberian. Gelang pelbagai jenis dan bentuk, cincin, kerongsang entah pelbagai jenis dan bentuk yang aku dapat.Coklat dengan air soya apatah lagi. Memang habuanku setiap hujung minggu.Aku tidak tahu bagaimana untuk menghentikan perbuatan nya yang gemar menghantar hadiah.Mungkin benar kata orang, lelaki bila memikat ...... anda faham sendiri. Terutama lelaki yang sedang membaca ini.Jangan marah terhadap apa yang aku katakan. Lelaki bila memikat bersungguh-sungguh.Selagi belum dapat selagi itulah mereka tak jemu berusaha. 

    Bukan aku tidak pernah merasai cinta. Terus terang, cinta pertamaku adalah cinta zaman kanak-kanakku. Tapi hamba Allah itu hanya kenangan indah zaman kanak-kanakku. Bila melangkau usia 13 tahun, bersua dengan dirinya membuatkan aku menjadi seorang yang pemalu. Cinta lama dan kenangan lama datang lagi. Walau apapun, dia tetap hamba Allah yang baik yang sedia membantu diriku.Terima kasih buat dirinya kerana menjadi teman rapatku semenjak kecil.
Kemudian, bila aku mula mengenali seseorang dan dia adalah insan yang aku anggap seperti abang. Aku menyukai seseorang itu kerana sifat penyayang dirinya umpama seorang abang yang melindungi dan menyayangi adiknya. Seseorang yang selalu mengambil berat dan menghiburkan diriku. Seseorang yang selalu membantu diriku di kala kesusahan dan di kala aku memerlukan. Kerana berada di alam nyata, aku buang jauh-jauh perasaan itu.Sewaktu di sekolah menengah, aku terlebih dahulu rapat dengan dua orang hamba Allah yang aku anggap seperti abang. Mereka teman baikku dalam segenap perkara. Baik akademik dan sukan kerana mereka sepasukan bola baling sekolah dengan diriku. 
Aku menyukai salah seorang daripada mereka, insan yang aku anggap seperti abang. Perasaanku bukan untuk Hisyam. Kerana berpijak di alam realiti, kerana mengelak dari hakikat itu, aku menerima cinta Hisyam. Sehinggakan, aku meminta pertolongan insan yang aku sayangi itu menjadi orang tengah di antara aku dan Hisyam. Aku titipkan sebuah buku melalui abang dan meminta dia menyampaikannya kepada Hisyam. Sehinggakan, abang tersebut berkata,"Haa... dah ada orang lain tak nak beritahu abang". Aku hanya mampu tersenyum. Bagaimana bisa untuk aku menjawab  gurauan nya itu sedangkan hatiku untuk dirinya sebenarnya pada ketika itu. Aku tidak tahu betul atau tidak tindakan ku. 
Kerana aku berpijak di bumi yang nyata, orang yang aku sayangi juga telah pergi dari hidupku dari sisiku. Maka, aku menerima Hisyam. Biarlah rahsia ini menjadi rahsia hidupku bahawa abang tersebut tetap orang yang baik kepada diriku. Aku bahagia menjadi adiknya. Dari mula persahabatanku dengan Hisyam, aku menerima dirinya tanpa mengetahui siapa dirinya. Aku menerima cintanya kerana bukanlah kerana aku juga mempunyai perasaan pada dirinya tetapi aku sekadar menyenangi sikapnya. Aku cuba untuk belajar menyukai Hisyam.Tapi itu serius aku lakukan setelah aku tamat tingkatan Lima. 
Sekitar tingkatan 4, aku masih seperti dulu. Gemar dengan kesibukan aktiviti sekolah. Aku aktif kadet polis sehinggakan aku dinaikkan pangkat Koperal Kadet dan pada masa yang sama aku aktif dengan sukan bola jaring dan bola baling. Alhamdulillah, perhubungan kami berjalan dengan baik dan lancar. Kerap kali Hisyam menulis kepadaku 
“Semoga kita akan diijabkabulkan kelak”.
    Aku menganggap itu adalah doa yang baik. Seiring dengan utusan Hisyam di dalam setiap warkahnya, aku matlamat hubungan ini ke arah perkahwinan supaya tidak menjadi sia-sia.Aku sendiri mempunyai impian untuk membina USRAH SAKINAH MARDHATILLAH yang dilimpahi dengan MAWADDAH dan RAHMAH agar aku mampu membentuk anak-anak yang Soleh dan Solehah. Aku tahu di dunia ini masih kekurangan lagi LELAKI SOLEH dan WANITA SOLEHAH. Aku mendambakan untuk menjadi seorang UMMI kepada anak-anak yang soleh dan solehah. Amani lillahi Taala. Amin Ya Rabb. 

Teringat di permulaan, Hisyam menulis sebuah lagu kepadaku
“Insan Bernama Kekasih”
Debar Hatiku Membisik Rindu
Ingin Aku Katakan Kau Gadis Idaman
Adakah Mungkin Kau Kumiliki
Untuk Aku Jadikan Insan Bernama Kekasih
Keayuan Yang Tergambar Lukisan Nur Iman
Bersulamkan Keindahan Santun Perkataan
Bagai Putih Salju Mendinginkan Hangat Perasaan
Mengusik Segala Resah Di Jiwa
Ku Sampaikan Salam Ucapan Mesra
Dan Merisik Khabar Berita
Masihkah Ada Peluang Untuk Ku Melafazkan Cinta
Umpama Rembulan Jatuh Ke Riba
Mendengar Khabaran Darinya
Padamu Ku Memendam Rasa
Datanglah Kasihmu Dalam Diriku
Menghiasi Ruang Hatiku
Akanku Sambutnya Dengan Sujud Penuh Kesyukuran
Ku Harap Jalinan Kan Berpanjangan
Demi Kasih Yang Terbina
Kerana Cinta Kepada-Nya
Kau ku Sayangi Teman Sejati
Di kau lah sesungguhnya Insan Bernama Kekasih
    Setiap kali balik bercuti sudah menjadi kebiasaan aku membuat kek dan biskut kerana salah satu hobiku adalah memasak. Maka setiap kali itulah aku akan mengirim kepada Hisyam setiap kek dan biskut yang aku buat.

Alhamdulillah, perhubungan selama berada di sekolah berjalan dengan baik. Sekali-sekala Hisyam menelefon aku tetapi terus kepada talian telefon rumah. Banyak perkara yang kami bincangkan mengenai masa depan, pelajaran dan sebagainya. Saban hari bila balik bercuti, Hisyam akan bangunkan aku subuh. Bukan aku tidak boleh bangun sendiri tetapi selesai solat subuh biasanya aku akan berbual-bual ringkas dengannya.

     Tahun 2006,
    Tahun tersebut aku bakal menduduki SPM dan sudah tentu aku berusaha keras ke arah itu iaitu cita-citaku untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Hubungan kami masih seperti biasa. Tambahan pula, aku sudah mengenali siapa dirinya. Persekolahan masih diteruskan seperti biasa. Seperti biasa, aku sibuk dengan pasukan kadet polis dan sukan bola jaring dan bola baling. Aku pula dinaikkan pangkat dari Koperal kepada Sarjan Kadet. Syukur itu adalah rezeki kerana sebelum ini aku banyak mengikuti perkhemahan Kadet Polis pelbagai peringkat dan aktif dalam pelagai aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Kadet Polis.


    Hisyam pula sibuk dengan olahraga MSSM dan pasukan Kadet Bomba nya. Cuma satu sahaja persamaan kami, kami sama-sama memegang jawatan pengawas Lujnah Sukan Dan Rekreasi. Agak lucu bagi diriku, aku tidak sedar bahawa dia juga rupa-rupanya pengawas Sukan sewaktu dengan diriku.Masakan tidak, dia datang perjumpaan aku tidak menghadirkan diri. Bila aku hadir ke perjumpaan dia pula menghilangkan diri. Sehinggalah Majlis Perwakilan Pelajar sekolah mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur, barulah aku tahu rupa-rupanya dia pengawas sekolah. Masakan tidak, dia gemar berpakaian seragam putih dari berpakaian seragam pengawas. Paku dulang paku serpih, aku sendiri sama sebenarnya. 
Aku sedar tanggungjawab ku sebagai pelajar lebih penting maka tidak aku biarkan perasaan menguasai diriku. Tidak aku biarkan diriku alpa. Kali pertama, aku jemput Hisyam ke rumah sempena hari raya Aidil Adha dan dia memenuhi jemputanku. Alhamdulillah, keluargaku menerima dirinya dengan baik. Kadang kala dia akan ke rumahku dan kami mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Hisyam selalu bertandang ke rumahku. Kini, perhubungan kami diketahui kedua-dua belah keluarga. Aku Cuma mendoakan semoga semuanya di dalam redha ILLAHI.

     Penghujung tahun 2006, kami menduduki SPM. Sementara menanti keputusan SPM, aku bekerja sambilan di pecan sebagai jurujual di sebuah kedai kain. Dengan gaji yang aku peroleh, akhirnya aku mampu membeli sebuah telefon bimbit biasa. Alhamdulillah aku berjaya mendapat keputusan cemerlang dan menjadi antara pelajar cemerlang SPM 2006. Aku turut mendapat anugerah terbaik bagi mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Syukur Alhamdulillah atas rezeki yang Allah kurniakan. Tibalah masa yang dinantikan. Masa untuk berpisah. Aku dan Hisyam tidak pernah terfikir untuk menyambung pengajian bersama.Memang kami tidak pernah berbicara perkara itu. Cukuplah sekadar kami nyatakan harapan dan cita-cita kami untuk terus berjaya di masa hadapan.  
      
      Namun, sehingga kini aku masih ingat, Hisyam pernah berkata kepadaku sebuah kisah.Kisah di mana along nya pernah dikecewakan oleh seseorang. Alongnya pernah berkasih dengan seseorang semenjak dari sekolah menengah lagi. Malangnya, apabila mereka sama-sama menjejakkan kaki ke universiti, kekasih hati along nya langsung tidak mempedulikan along nya. Kerana itu, dia meminta kepadaku agar jangan meninggalkan dirinya biarpun terdapat banyak jurang perbezaan antara kami. 

     Biarpun keputusan SPM aku mengatasi dirinya, aku tidak pernah memandang rendah kepadanya. Bagi aku, itu bukanlah jurang yang boleh memisahkan dan menjarakkan hubungan kami. Bulan Mei 2007, aku akhirnya menyambung pengajian di sebuah pusat pengajian Islam. Tidak aku ketahui dia juga menyambung pengajian di tempat yang sama.Aku sendiri terlewat pergi mendaftarkan diri pada hari tersebut. Masih segar di ingatanku, 14 MEI 2010. Maka, kami teruskan AMANINA melangkah seiring ke gedung ilmu yang sama. Ke mana langkah seterusnya ??? Langkah memulakan episod hidup ke arah lebih mencabar.

Bersambung...................................................
Cinta Yang Pergi(Part 2)

Thank You For Reading My Entry.♥ it, Please Like.

1 orang sayang saya:

Nur RaFezza Fetheri said...

Assalamualaikum.. buat sesiapa sahaja yang membaca kisah dan coretanku ini. Ini adalah kisah benar yang terjadi dalam hidupku. Sekadar untuk aku kongsi bersama agar anda di luar sana tidak terlalu mengagungkan cinta seorang lelaki. Biar ia menjadi pengajaran kepada diriku dan anda semua yang membaca kisah cinta ini. Sesungguhnya, apa yg digariskn Islam itu lebih baik & memelihara perasaan kita dari jauh kecewa. Dari ALLAH kita datang & kepadanya kita kembali, maka Cintailah Allah. Dia tidak akan meninggalkan hambaNya. Pesanan buat diri yang terleka.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...