Saturday, December 18, 2010

Mangkuk Cantik, Madu Dan Sehelai Rambut

Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W bersama-sama Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman pergi menziarahi Saidina Ali r.a di rumahnya. Kedatangan mereka bertiga disambut dengan senang hati oleh Saidina Ali r.a dan isterinya Saidatina Fatimah r.a.

Bagi memuliakan tetamu, Saidatina Fatimah r.a menghidangkan madu kepada ayahandanya serta kawan-kawan karibnya. Madu itu diletakkan dalam sebuah mangkuk yang amat cantik. Semasa membawa mangkuk berisi madu itu kepada mereka, tiba-tiba sehelai rambut jatuh ke dalam mangkuk tersebut. Semua yang ada hanya memerhatikan keadaan tersebut.

Tiba-tiba Rasulullah S.A.W meminta semua yang hadir untuk membuat perbandingan terhadap tiga benda tersebut iaitu mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut. Maka para sahabat yang ada memberikan pandangan masing-masing.

Saidina Abu Bakar r.a berkata : "Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Saidina Umar r.a : "Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis daripada madu dan memerintah serta memimpin dengan adil itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut."

Saidina Uthman r.a. pula berkata : " Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu dan orang yang beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Tiba giliran Saidina Ali r.a berkata : "Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat tetamu berasa gembira adalah lebih sukar daripada meniti sehelai rambut". 

Kemudian Saidatina Fatimah r.a berkata : "Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, wanita yang menutup auratnya itu lebih manis daripada madu dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat oleh orang lain kecuali muhrimnya lebih susah daripada meniti sehelai rambut."

Rasulullah S.A.W pula menyatakan : "Seseorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, beramal dengan amalan yang baik itu lebih manis daripada madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Malaikat Jibrail a.s pula berkata : "Menegakkan panji-panji agama itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, usaha-usaha agama lebih manis daripada madu dan mempertahankan usaha agama sehingga ke akhir hayat adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Allah Taala kemudian berfirman : " Syurga-Ku lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, nikmat Syurga-Ku itu lebih manis daripada madu dan jalan menuju ke Syurga-Ku adalah lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."

Maka, renungilah pendapat-pendapat yang tersirat di sebalik  mangkuk cantik, madu dan sehelai rambut. 






Thank You For Reading My Entry.♥ it, Please Like.

1 orang sayang saya:

RaFezza said...

Kisah yang berlaku ini memberi banyak pengajaran kepada kita. Betapa sukar menjadikan sesuatu itu indah dan lebih indah daripada mangkuk yang cantik dan madu. Namun begitu, untuk dapatkan sesuatu yang indah itu lebih sukar daripada meniti sehelai rambut. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...